Friday 28 December 2012

Hadis: Hanyasanya Amalan itu dengan niat

"انما الاعمال بانيات"

"Hanyasanya amalan itu dengan niat" (Riwayat Bukhari:1)

Hari ini penulis akan menerangkan tentang hadis ini. Walaupun ramai sudah tahu, tetapi demi mengerjakan amar makruf dan nahi munkar, penulis berasa amat perlu perkara ini diketengahkan pada post kali ini.

Dalam hadis ini, digunakan perkataan "انما" yang bererti "hanyasanya". Apa maksud "hanyasanya"?

Hanyasanya bermaksud hanya dia dan tiada yang lain. Contohnya: Hanyasanya Ahmad yang berdiri dalam kelas. Ini bermaksud hanya Ahmad yang berdiri, dan orang lain ada yang duduk, baring, tidur, meniarap.

Keterangan hadis:

Hadis ini menunjukkan bahawa setiap amalan sama ada diterima, ditolak, dibayar pahala dengan besar atau kecil, dibayar dosa hanyalah dengan niat ketika melakukan amalan itu. Kalau baik niatnya, maka baiklah juga balasannya, dan begitulah sebaliknya.

Disebabkan itulah, sebelum melakukan sesuatu perkara, perlu memasang niat dahulu. Jika niat terpesong, jahat, untuk mendapat nama dan kemasyhuran, maka kemungkinan besar Allah tidak akan menolong apa yang kita lakukan, sekalipun amalan itu baik di sisi pandangan manusia.

Namun jika amalan itu diniatkan supaya untuk mendapat redha Allah, menolong agama Allah, menaikkan agama Islam, maka Allah berjanji akan menolong hamba-Nya itu Seperti dalam firman-Nya

"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya dia akan menolong kamu.." (Surah Muhammad:7)

Contoh seorang remaja belajar sains, dia meniatkan dengan belajar sains ini dia mahu menjadi seorang pereka cipta yang boleh  menaikkan agama Allah di persada dunia. Maka Allah akan menolongnya dengan syarat dia ikhlas(tanpa mencampurkan dalam urusan itu dengan mendapat dunia).

Bahkan walaupun belum siap amalan itu, kemudian kita mati, atau uzur atau sebagainya, Allah tetap akan membalas amalan itu sebesar mana niat yang kita pasang dalam melakukan amalan itu.


Thursday 27 December 2012

Tentang Bismillah

بسم الله الرحمن الرحيم

"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang"

Sebenarnya, ayat ini boleh juga diterjemahkan begini:

"Aku mulakan (pekerjaan aku ini) dengan seluruh nama Allah" kerana perkataan اسم adalah mufrad dan mudhaf, maka ia mengumumkan keseluruh nama Allah. (Tafsir Kalam Mannan)

Dan Bismillah ini mengikut kepada apa-apa jenis perbuatan selepas itu, tidak kira untuk menaiki kenderaan, makan, minum atau lain-lain. Maksudnya, tidak perlu dinyatakan fiil di dalam bismillah. Contohnya:

"Aku menaiki kenderaan dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang"

Bismillah ini perlu disebut bagi setiap pekerjaan yang baik, kerana sabda Nabi SAW:

"كل امر لا يبدأ باسم الله الرحمن الرحيم فهو أبتر"

"Setiap pekerjaan yang tidak dimulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim maka ia terputus (berkatnya)" (Riwayat Ahmad)


Apa itu barakah (berkat)?

Apa itu barakah (berkat)?

Banyak sekali kita mendengar perkataan ini, banyak lidah-lidah manusia bercakap tentang ini, tetapi sikit sekali mereka memahami berkat ini pada maknanya yang sebenar.

Berkat diambil pada bahasa Arab بركة, bermakna kolam.

Keterangan: Jika anda mengambil tangan anda, kemudian anda masukkan ke dalam kolam, anda akan mendapati ianya lebih dalam daripada apa yang anda lihat. Begitulah pengertian barakah.

Barakah pada segi maknanya bermakna penambahan atau peningkatan.

Contohnya, jika seseorang mempunyai waktu yang amat sedikit untuk melakukan sesuatu pekerjaan,yang pada adatnya ia mustahil untuk dilakukan pada waktu sesingkat itu. Tetapi dia berjaya melakukan pekerjaan itu kendatipun masa yang diberikan amat sedikit. Itulah barakah pada masa.

Barakah juga boleh berlaku pada harta, anda mempunyai wang sebanyak RM 10, sudah tentu wang RM10 ini amat sedikit bagi sesetengah orang. Tetapi anda boleh menggunakannya seolah-olah pada orang lain anda menggunakan RM 100. Itulah barakah.

Barakah boleh berlaku pada anak-anak, negara, ilmu, ingatan dan lain-lain lagi.

Timbul persoalan, apakah cara untuk mendapat barakah?

Dinyatakan dalam Al-Quran cara untuk mendapat barakah, antaranya

1) Al-Quran (sama ada dihafaz, dibaca, diulang, dikaji dan lain-lain)

(وهذا كتاب أنزلناه مبارك مصدق الذي بين يديه)

"Dan inilah kitab Al-Quran yang Kami turunkan (dan kitab itu) diberkahi, membenarkan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya" (Al-An'aam:92)

 2) Takwa dan iman

(ولو أن أهل القرى آمنوا واتقوا لفتحنا عليهم بركات من السماء والأرض)

" Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi"(Al-A'raf: 96)

3) Lailatul Qadar

(إنا أنزلناه في ليلة مباركة إنا كنا منذرين)

"Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran itu pada suatu malam yang diberkahi(lailatulqadar)" (Ad-Dukhan: 3)

4) Bersyukur

(ولئن شكرتم لأزيدنكم) 

"Jika kamu bersyukur aku benar-benar akan menambahkannya" (Ibrahim: 7)

5) Bersedekah

(مثل الذين ينفقون أموالهم في سبيل الله كمثل حبة أنبتت سبع سنابل في كل سنبلة مائة حبة والله يضاعف لمن يشاء والله واسع عليم)

"Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji, Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui"

6) Berpagi-pagi bangun (tidak tidur selepas Subuh dan bangun awal pagi)

"اللهم بارك امتي في بكورها"

Sabda Nabi: "Ya Allah, berkatkanlah umatku yang berpagi-pagi"

7) Berkahwin

(وأنكحوا الأيامى منكم والصالحين من عبادكم وإمائكم إن يكونوا فقراء يغنهم الله من فضله والله واسع عليم)

" Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahaya yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui"

Sebenarnya, masih banyak cara-cara untuk mendapat berkah yang digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah. Hamba yang jahil ini hanya dapat menulis sedikit sahaja. Tapi yang paling jelas, bersyukur adalah amalan yang paling mudah untuk mendapat berkah. 

Saturday 22 December 2012

Ketahuilah!

Ketahuilah wahai saudaraku, wajib ke atas kita untuk melaksanakan beberapa tuntutan, iaitu

1- Ilmu: Yaitu kita wajib mengetahui dan mengenali Allah, Rasul-Nya dan agama Islam, kerana tidak akan diterima amalan tanpa ilmu. Dan sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan ilmu, sesungguhnya dia telah menyerupai kaum Nasrani

2- Amal: Yaitu kita wajib beramal dengan ilmu, membuat apa yang fardu, meninggalkan yang dilarang.

Sesiapa yang tidak beramal dengan ilmu, sesungguhnya dia telah menyerupai kaum Yahudi.

Antara tipudaya syaitan ialah mereka selalu menjauhkan manusia daripada belajar, supaya kejahilan mereka menjadi helah untuk lepas daripada azab Allah di akhirat nanti.

Ketahuilah! Sesiapa yang berdaya untuk belajar, tetapi dia sengaja menguzurkan diri kerana malas atau sebagainya, sesungguhnya dia tidak lepas daripada azab Allah dan tidak akan diterima keuzurannya.

3- Berdakwah kepada Allah : kerana ulama' dan para dai' ialah pewaris pada Nabi. Telah dilaknat Bani Israel kerana keengganan mereka untuk berdakwah dan mencegah kemungkaran

"Mereka satu sama lain tidak mencegah perbuatan munkar yang mereka lakukan. Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka perbuat itu" (5:79)

4- Bersabar : Yaitu bersabar dalam menuntut ilmu, beramal dan berdakwah.