Thursday 27 December 2012

Apa itu barakah (berkat)?

Apa itu barakah (berkat)?

Banyak sekali kita mendengar perkataan ini, banyak lidah-lidah manusia bercakap tentang ini, tetapi sikit sekali mereka memahami berkat ini pada maknanya yang sebenar.

Berkat diambil pada bahasa Arab بركة, bermakna kolam.

Keterangan: Jika anda mengambil tangan anda, kemudian anda masukkan ke dalam kolam, anda akan mendapati ianya lebih dalam daripada apa yang anda lihat. Begitulah pengertian barakah.

Barakah pada segi maknanya bermakna penambahan atau peningkatan.

Contohnya, jika seseorang mempunyai waktu yang amat sedikit untuk melakukan sesuatu pekerjaan,yang pada adatnya ia mustahil untuk dilakukan pada waktu sesingkat itu. Tetapi dia berjaya melakukan pekerjaan itu kendatipun masa yang diberikan amat sedikit. Itulah barakah pada masa.

Barakah juga boleh berlaku pada harta, anda mempunyai wang sebanyak RM 10, sudah tentu wang RM10 ini amat sedikit bagi sesetengah orang. Tetapi anda boleh menggunakannya seolah-olah pada orang lain anda menggunakan RM 100. Itulah barakah.

Barakah boleh berlaku pada anak-anak, negara, ilmu, ingatan dan lain-lain lagi.

Timbul persoalan, apakah cara untuk mendapat barakah?

Dinyatakan dalam Al-Quran cara untuk mendapat barakah, antaranya

1) Al-Quran (sama ada dihafaz, dibaca, diulang, dikaji dan lain-lain)

(وهذا كتاب أنزلناه مبارك مصدق الذي بين يديه)

"Dan inilah kitab Al-Quran yang Kami turunkan (dan kitab itu) diberkahi, membenarkan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya" (Al-An'aam:92)

 2) Takwa dan iman

(ولو أن أهل القرى آمنوا واتقوا لفتحنا عليهم بركات من السماء والأرض)

" Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi"(Al-A'raf: 96)

3) Lailatul Qadar

(إنا أنزلناه في ليلة مباركة إنا كنا منذرين)

"Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran itu pada suatu malam yang diberkahi(lailatulqadar)" (Ad-Dukhan: 3)

4) Bersyukur

(ولئن شكرتم لأزيدنكم) 

"Jika kamu bersyukur aku benar-benar akan menambahkannya" (Ibrahim: 7)

5) Bersedekah

(مثل الذين ينفقون أموالهم في سبيل الله كمثل حبة أنبتت سبع سنابل في كل سنبلة مائة حبة والله يضاعف لمن يشاء والله واسع عليم)

"Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji, Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui"

6) Berpagi-pagi bangun (tidak tidur selepas Subuh dan bangun awal pagi)

"اللهم بارك امتي في بكورها"

Sabda Nabi: "Ya Allah, berkatkanlah umatku yang berpagi-pagi"

7) Berkahwin

(وأنكحوا الأيامى منكم والصالحين من عبادكم وإمائكم إن يكونوا فقراء يغنهم الله من فضله والله واسع عليم)

" Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahaya yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui"

Sebenarnya, masih banyak cara-cara untuk mendapat berkah yang digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah. Hamba yang jahil ini hanya dapat menulis sedikit sahaja. Tapi yang paling jelas, bersyukur adalah amalan yang paling mudah untuk mendapat berkah. 

3 comments:

  1. Adaah sesuai ayat berakah ini di gunakan.. contoh umpama nya..

    Pagi yg penuh berakah?

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah.. semoga peroleh barakah dan inaya dariNya

    ReplyDelete